Rozaimi-’Pengiktirafan untuk Sabah’

Rozaimi Abd Rahman

Anugerah pemain terbaik Asia bakar semangat Rozaimi

Kota Kinabalu: “Pengiktirafan ini adalah untuk Sabah,” kata penyerang Harimau Muda A kelahiran Sabah, Rozaimi Abd Rahman yang diangkat antara 10 pemain terbaik Asia 2012 oleh saluran sukan antarabangsa, ESPN.

Anak muda berusia 20 tahun dari Bongawan itu mengakui terkejut apabila namanya terpilih antara 10 pemain terbaik Asia bersama bintang Manchester United dari Jepun, Shinji Kagawa.

“Saya gembira kerana disenaraikan walaupun terkejut kerana prestasi saya turun naik kecuali ketika bermain bersama Harimau Muda pada Kelayakan Piala Asia bawah 22 tahun di Yangon, Myanmar, Jun lalu dengan menjaringkan 10 gol.

“Mungkin kerana aksi itulah saya dipilih ESPN, bagi saya ramai lagi yang layak seperti kapten kebangsaan, Safiq Rahim selain Safee Sali dan Wan Zack Haikal. Namun, mungkin nasib lebih menyebelahi saya,” katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam.

Rozaimi kini bercuti di Kota Kinabalu bersama keluarga sebelum menyertai latihan bersama skuad Harimau Muda A kendalian jurulatih, Ong Kim Swee bagi misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar tahun ini.

Anugerah kedua

Bekas pemain pinjaman Selangor dalam Piala Malaysia 2012 itu mengakui anugerah yang diterimanya itu mampu menjadi pemangkin terbaik untuknya bekerja keras bagi meningkatkan lagi prestasi sekali gus terus mengharumkan nama Sabah dan Malaysia.
“Memang inilah yang saya mahu lakukan seperti Matlan Marjan yang menjadi idola saya. Dulu dia pun mengharumkan nama Sabah dan Malaysia dengan menjaringkan dua gol ketika menentang England.

“Saya berharap pengiktirafan ini menjadi pendorong untuk beraksi dengan lebih cemerlang terutama untuk Sabah jika disenaraikan kembali tahun depan,” katanya.

Selain Rozaimi dan Kagawa, senarai 10 pemain terbaik Asia oleh ESPN turut membabitkan Omar Abdulrahman (UAE), Koo Ja Cheol dan Lee Keun Ho (Korea Selatan), Bambang Pamungkas (Indonesia), Yuto Nagatomo (Jepun), Teerasil Dangda (Thailand), Amjad Radhi (Iraq) dan Ali Al Habsi (Oman).

Ini adalah pengiktirafan kedua diterima Rozaimi selepas anugerah Pemain Harapan Liga Malaysia, Oktober lalu. -Berita Harian

Share
This entry was posted in Info Bola Sepak Malaysia and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>